Monday 3 September 2012

PERADUAN SMS & MENYERTAINYA HALAL @ HARAM ?

Hukum peraduan SMS & menyertainya menurut pandangan Islam
 
 

Seringkali kita dihujani dengan pelbagai peraduan yang benar-benar menyeronokkan dan menguntungkan. Melalui pelbagai tawaran dan hadiah-hadiah yang menarik, dalam tidak sedar peraduan seumpama ini telah berjaya menarik minat ramai remaja Islam atau Melayu terutamanya untuk menyertai. Namun, apakah kita pernah mengkaji akan halal dan haramnya? Apakah kita cakna pada hukum Haram atau Halal ini? Ya..ada kebanyakkan responden mengatakan " ala..kita hanya nak main-main aja..saja nak cuba, suka-suka..tapi kalau dah nak dapat hadiah tu, itukan namanya rezeki"....Ya, benar. Peraduan seumpama ini mungkin kebanyakkan hanyalah menyeronokkan tetapi sebagai seorang insan yang beragama Islam, kita perlu menitikberatkan soal Halal dan Haram dalam setiap tindakan atau perlakuan yang kita lakukan. Kenapa ana katakan begitu ? Kerana Allah telah berfirman :-

"Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu".
(Surah Al-Baqarah ayat 168)
 

Ingin ana kongsikan hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia. Bersama kita memahami hasil muzakarah ini..
 


KEPUTUSAN



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 di Putrajaya telah membincangkan Hukum Peraduan SMS Dan Menyertainya Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan:

Peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan seumpamanya adalah mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Dari itu hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak.


LATAR BELAKANG
 
Isu ini timbul apabila ada pandangan yang meragui tentang peraduan Sistem Pesanan Ringkas/Short Message Service (SMS) melalui telefon bimbit yang semakin meningkat dengan menawarkan hadiah yang lumayan. Tawaran hadiah tersebut telah menyebabkan orang ramai yang mungkin mencecah ratusan ribu terpikat untuk menyertainya.

Jika dahulu peraduan seumpamanya memerlukan peserta mengisi borang kertas dan menghantarnya kepada syarikat berkenaan dengan membayar harga setem, tetapi kini mereka dikehendaki menghantar SMS. Ini menyebabkan pihak penganjur akan memperoleh keuntungan besar daripada caj SMS yang dikenakan terhadap para peserta pertandingan, dan pihak peserta akan membayar bil yang tinggi untuk menyertai peraduan itu.
Melihat pada cara peraduan ini dijalankan para peserta mungkin telah menyertai satu bentuk peraduan yang tidak jelas operasinya. Apa yang lebih

membahayakan sekiranya terdapat unsur judi dan penipuan dalam peraduan SMS ini di samping peserta menyimpan angan-angan pula untuk memperoleh hadiah lumayan dengan mempertaruhkan caj telefon yang dikenakan.

Judi dari segi bahasa ialah permainan dengan menggunakan anak panah.
Menurut Stephen Lea dalam buku


The Individual in the Economy, A Textbook
of Economic Psychology (1987) perjudian ialah suatu kondisi di mana terdapat potensi kehilangan sesuatu yang berharga atau segala hal yang mengandungi risiko. Namun demikian, perbuatan mengambil risiko dalam perilaku berjudi, perlu dibezakan pengertiannya daripada perbuatan lain yang juga mengandungi risiko. Ketiga-tiga unsur di bawah ini mungkin dapat menjadi faktor yang membezakan perilaku berjudi dengan perilaku lain yang juga mengandungi risiko:

a. Perjudian adalah suatu kegiatan sosial yang melibatkan pertaruhan sejumlah wang (atau sesuatu yang berharga) di mana pemenang memperolehi wang daripada yang kalah.
b. Risiko yang diambil bergantung pada kejadian yang tidak diketahui hasilnya pada masa akan datang dan kebanyakannya ditentukan oleh perkara yang bersifat nasib dan kebetulan.
c. Risiko yang diambil bukanlah suatu yang harus dilakukan kerana kekalahan dan kehilangan dapat dihindari dengan tidak mengambil bahagian dalam perjudian.
Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa perjudian ialah perilaku yang melibatkan adanya risiko kehilangan sesuatu yang berharga dan melibatkan interaksi sosial serta adanya unsur kebebasan untuk memilih sama ada akan mengambil risiko kehilangan tersebut atau sebaliknya.


HUJAH DAN DALIL
 
Islam tidak melarang manusia untuk mencari harta dengan syarat ia tidak terkeluar daripada ketentuan hukum yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam mencari sumber rezeki adalah melalui usaha tanpa mengetepikan tanggungjawab yang telah difardukan sebagai seorang Islam.

 Islam mengharamkan judi bersama-sama arak, pemujaan berhala dan tenung nasib dengan batang-batang anak panah, yang menyamakannya dengan perbuatan syaitan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma`idah 90:
 
Maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Merujuk kepada bayaran bil telefon atau talian untuk memasuki pertandingan, hukumnya adalah tidak harus dari segi syarak jika syarikat yang menaja wang dalam iklan-iklan dan menyediakan peraduan atau pertandingan menggunakan wang yang hasilnya daripada caj bayaran telefon atau talian.
Pertandingan seperti ini merupakan salah satu daripada jenis judi ataupun almaisir
menurut bahasa al-Quran.
Dari satu aspek yang lain, sebab pengharaman yang jelas kepada pertandingan atau peraduan ini dan ia digolongkan dalam perjudian adalah kerana peserta yang menghubungi atau menggunakan talian telefon untuk menyertainya membayar bayaran yang lebih tinggi daripada caj bayaran biasa
untuk setiap minit. Sekiranya peserta membayar caj bayaran yang biasapun, ia
masih juga tergolong sebagai judi atau pertaruhan kerana dia membuat panggilan dan sanggup membayar bil telefon itu dengan tujuan memperoleh kemenangan.









8

No comments:

Post a Comment